UPM Kampus Bintulu
From Wikipedia
Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu merupakan sebuah 'kampus Fakulti' Universiti Putra Malaysia yang terletak di Bintulu, Sarawak. Di sini terletak
- Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, dan
- Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan
Kampus ini asalnya dibuka pada 1987 tetapi ditutup pada 1992.
Kampus ini dibuka semula pada November 2001 berasaskan matlamat ketiga pelan strategi UPM 2001-2010 iaitu "Meningkatkan keupayaan UPM sebagai Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Pertanian serta Biosumber terkemuka di Peringkat Antarabangsa".
Fokus utama kampus ini adalah dalam bidang agrobio seperti pertanian, perhutanan, perikanan dan lain-lain disiplin yang relevan.
UPM Kampus Bintulu terletak 13 km dari Bandar Bintulu, dikelilingi dengan rimbunan kehijauan yang kaya dengan flora dan fauna. Kekayaan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendokong misi dan matlamat UPM untuk meneroka bidang pertanian dan biosumber.
Kampus ini mempunyai keluasan 715.16 hektar dan boleh menampung sehingga 5000 orang pelajar.Secara amnya, pembukaan semula kampus ini telah memberi nafas kelegaan kepada bumi Sarawak. ini adalah kerana dengan pembukaan semula UPM Kampus Bintulu, ianya secara tidak langsung telah menolong pihak kerajaan tempatan untuk memperkenalkan negeri Sarawak kepada luar. Dengan pembukaan semula ini juga secara tidak langsung mampu memberi impak kepada industri pertanian Sarawak amnya Malaysia.
Sebagai kampus cawangan, Univerisiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) akan mendukung misi UPM, dan menjadi pusat pendidikan tinggi wilayah penting yang memberi sumbangan kepada pembangunan persekitaran intelektual, sumber tenaga dan sosioekonomi Bintulu, khasnya dan Negeri Sarawak amnya. UPMKB juga merupakan kampus strategik bagi mencapai matlamat dan agenda pertanian UPM; pertanian di sini ditakrif dengan ertikata yang seluas-luasnya. Fungsi UPMKB akan berteraskan pertanian dan biosumber menerusi penggemblengan bidang pengeluaran, pemprosesan, serta pengurusan, dan perniagaan dengan mengambil kira dimensi lain yang penting seperti pembangunan luar bandar, alam sekitar dan teknologi maklumat.
Jadual isi kandungan |
SEJARAH
1976 –
Institut Pertanian Semenggok, Kuching telah dibuka
1987 –
Kampus Cawangan Universiti Pertanian Malaysia di Bintulu, Sarawak (UPMKB) dibuka dengan 3 pusat pengajian:
- Institut Sains Gunaan
- Institut Sains Asasi
- Institut Sains Sosial dan Pengurusan
Program akademik yang ditawarkan pada ketika itu ialah:
- Diploma Pertanian
- Diploma Perhutanan
- Diploma Perniagaantani
- Program Pendahuluan
1992 -
UPMKB ditutup (1500 pelajar)
1994 -
Digunakan oleh Maktab Perguruan Sains Bintulu
1999 -
Maktab Perguruan Sains Bintulu telah berpindah ke kampus Baru
2001 -
UPMKB dibuka semula. Program akademik yang ditawarkan ialah:
- Diploma Pertanian
- Diploma Perhutanan
- Diploma Kejuruteraan (kecemasan & keselamatan)
- Diploma Perikanan
- Diploma Pengurusan Perniagaan
- Bacelor Sains Bio Industri
- Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan
- Diploma Pengurusan Perladangan Makanan
PELAN STRATEGI
Untuk mencapai misinya, UPMKB telah menetapkan tujuh matlamat yang saling melengkapi antara satu dengan lain. Setiap matlamat mempunyai objektif khusus yang boleh diukur pencapaiannya dalam bentuk petunjuk prestasi. Berikut ialah matlamat-matlamat yang ditetapkan :
1. Menjadikan UPMKB sebagai Pusat Pengajian Pertanian dan Biosumber yang cemerlang.
2. Menjadikan UPMKB sebagai Institusi Penyelidikan Pertanian dan Biosumber yang cemerlang.
3. Menjadikan UPMKB sebagai Pusat Perkhidmatan dan Pembangunan Profesional dalam bidang Pertanian dan Biosumber yang cemerlang.
4. Membangunkan Pengurusan Sumber Manusia yang efektif dan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan berkualiti.
5. Mewujudkan tadbir urus yang mantap.
6. Menerapkan budaya ICT melalui e-Universiti.
7. Mewujudkan Sistem Pengurusan Kewangan yang cekap dan berkesan.