Bintulu
From Wikipedia
Bahagian Bintulu terletak di Sarawak menghadap Laut China Selatan di baratnya. Bandar Bintulu membangun dengan pesat dengan adanya gas asli di luar pantai Sarawak. Ia terletak 650 km dari Bandar Kuching dan kira-kira 215 km dari Sibu atau Miri. Bintulu mempunyai keluasan 7,220.4 km2.
Dahulu hanya sebuah kampung nelayan yang terkenal dengan udang, cencaluk dan belacan, Bintulu kini menjadi bandar antarabangsa. Sejak 1979, ramai pekerja luar datang terutama dari Korea.
Malaysia LNG Sdn Bhd iaitu sebuah loji pemproses gas asli telah dibina di Bintulu. Hasilnya telah memberi ruang kepada pembangunan lain-lain sektor yang diperlukan.
Pelabuhan Bintulu di Tanjung Kidurong turut dibina dan berkembang maju. Tanjung Kidurong dahulunya ialah sebuah hutan rimba yang terkenal sebagai tempat perburuan rusa. Pelabuhan ini bersebelahan dengan loji MLNG. Lembaga Pelabuhan Bintulu ditubuhkan pada 1981 bagi melicinkan pembinaan pelabuhan serta bertanggungjawab dalam pengendalian dan penjagaan pelabuhan. Semua kontrak pembinaan utama telah disiapkan mengikut jadual dengan memakan kos berjumlah RM600 juta.
Terdapat juga kilang Asean Bintulu Fertilizer yang membekalkan baja urea dan lain-lain kepada petani-petani di Malaysia dan juga di negara-negara ASEAN.
Kampus Universiti Pertanian Malaysia turut dibina. Kini ia dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia. UPM Kampus Bintulu ini bukanlah suatu nama baru sebagai destinasi pendidikan tinggi di negara ini kerana ia merupakan kampus tertua di Negeri Sarawak. Kampus ini diaktifkan semula pada November 2001 berasaskan matlamat ketiga pelan strategi UPM 2001-2010 iaitu meningkatkan keupayaan UPM sebagai pusat pengajian dan perkhidmatan pertanian serta biosumber terkemuka di peringkat antarabangsa.
Pada masa kini, terdapat lebih daripada 8 buah sekolah menengah dan 50 buah sekolah rendah di Bintulu. Di antara sekolah-sekolah menengah tersebut, SMK Bintulu merupakan sekolah tertua dan terbesar dan dapat menampung pelajar-pelajar dari Tingkatan Satu sampai Tingkatan Enam. Ianya merupakan salah sebuah sekolah yang menunjukkan prestasi yang terbaik di Sarawak dalam peperiksaan-peperiksaan umum.
Lapangan Terbang Bintulu terletak kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar. Lapangan terbang baru ini mempunyai landasan sepanjang 2200 meter yang membolehkan pesawat B747 untuk mendarat. Landasan itu akan dipanjangkan ke 2600 meter mulai tahun 2005 dan seterusnya bagi membolehkan Airbus A330 mendarat. Penerbangan terus ke destinasi tertentu seperti Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong, Manila, Bangkok dan Jakarta dapat dilakukan dengan adanya Lapangan Terbang baru ini.
Bintulu juga mempunyai kemudahan sukan dan rekreasi yang baik. Bintulu mempunyai lebih daripada 40 gelanggang badminton, 32 gelanggang tenis, 8 buah gelanggang skuash, 16 buah gelanggang bola keranjang, 25 buah gelanggang sepak takraw, 14 buah padang bola sepak, 4 buah gelanggang bola tampar dan 3 buah padang hoki.
Selain daripada kemudahan-kemudahan tersebut, Bintulu juga mempunyai 3 buah kolam renang awam termasuklah kolam renang Lembaga Kemajuan Bintulu berdekatan Dewan Suarah, sebuah stadium tertutup dan stadium terbuka yang terletak di Jalan Tanjung Kidurong.
Padang Golf 18-lubang di Bintulu bukan sahaja sebuah padang golf yang mencabar bahkan mempunyai pemandangan yang menarik di sini. Padang Golf ini dikendalikan oleh Kelab Golf Bintulu yang mempunyai bangunan sendiri di situ sebagai pusat operasinya.
Kebanyakan pelancong akan singgah di Bintulu sebelum berkunjung ke Taman Negara Niah atau Taman Negara Similajau.
[Sunting] Tempat-tempat menarik
- Kampung Jepak
- Tugu Dewan Undangan Negeri
- Pasar Utama Bintulu & Tamu Bintulu
- Pasar Malam
- Masjid Assyakirin
- Tokong Kuan Yin Tong
- Pantai Tanjung Batu
- Taman Tumbina
- Padang Golf
- Taman Negara Similajau
[Sunting] Pautan luar
|
|
---|---|
Bahagian-Bahagian: Kuching | Samarahan | Sri Aman | Betong | Sarikei | Sibu | Mukah | Kapit | Bintulu | Miri | Limbang |