Republik
From Wikipedia
-
Untuk kegunaan yang lain, sila lihat: Republik (nyahkekaburan).
Republik merujuk kepada sejenis kerajaan (negara) yang diperintah oleh ketua negara yang dipilih rakyat seperti Presiden dan bukannya beraja atau monarki. Perkataan ini berasal dari bahasa Latin res publica, atau "urusan awam", dan ia bermaksud kerajaan dimilik serta dikawal oleh rakyat. Namun demikian republik tidak boleh disama ertikan dengan konsep demokrasi. Terdapat kes dimana negara republik diperintah secara kukubesi atau totalitarian. Misalnya, Afrika Selatan telah menjadi republik sejak 1961, tetapi disebabkan dasar apartheid lebihkurang 80% penduduk kulit hitamnya dilarang mengundi. Namun demikian, terdapat juga negara republik yang mengamalkan perwakilan secara demokrasi.
Konsep republik telah digunakan sejak berabad lamanya dengan republik yang paling terkenal iaitu Republik Rom, yang bertahan dari 509 SM hingga 44 SM. Di dalam Republik tersebut, prinsip-prinsip seperti "anualiti" (memegang jawatan selama satu tahun sahaja) dan "collegiality" (dua orang memegang jawatan ketua negara) telah dipraktikkan.
Dalam zaman moden ini, ketua negara sesuatu republik biasanya seorang sahaja, iaitu Presiden, tetapi terdapat juga beberapa pengecualian misalnya di Switzerland, terdapat majlis tujuh ahli yang merangkap sebagai ketua negara, dipanggil Bundesrat, dan di San Marino, jawatan ketua negara dipegang oleh dua orang.
[Sunting] Republik dan konsep demokrasi
Ramai yang mungkin berpendapat kerajaan republik adalah lebih demokratik dari kerajaan raja berperlembagaan. Namun demikian ianya bergantung kepada siapa yang memegang kuasa eksekutif. Didalam sesetangah negara monarki, raja sekadar lambang kedaulatan negara manakala perdana menteri adalah lebih berkuasa dari raja. Monarki biasanya bertakhta seumur hidup dan kuasanya akan diberi kepada saudara atau anak, atau dipilih mengikut peraturan yang ditetapkan. Banyak negara raja berperlembagaan adalah demokratik.
Dari segi mana yang lebih demokratik, memang tiada perbezaan yang jelas antara republik dan negara raja berpelembagaan. Disetengah-setengah negara bukan republik seperti Malaysia, Perdana Menteri mempunyai lebih kuasa eksekutif berbanding rajanya, yang berkuasa dari segi adat istiadat sahaja. Manakala, di beberapa republik pula Presidennya memerintah secara kuku besi seolah-olah dia maharaja di negara tersebut. Misalnya, kerajaan di bawah pimpinan Bokassa di Republik Afrika Tengah. Namun begitu, pada lazimnya republik adalah disamakan dengan demokrasi. Amerika Syarikat misalnya dianggap sebagai simbol demokrasi. Manakala India, juga sebuah republik, dianggap sebagai demokrasi terbesar didunia.