Ekonomi Malaysia
From Wikipedia
Sistem ekonomi di Malaysia pada abad ke-19 dan sehingga tahun 1963 boleh dikategorikan kepada 2 bentuk yang utama iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil. Bentuk dan kegiatan ekonomi yang mereka amalkan telah menerima pengaruh daripada sistem pemerintahan pada masa dahulu. Sebagai contoh, rakyat biasa menjadi petani, pedagang; pembesar pula menjadi pemilik tapak perlombongan dan sebagainya.
Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Maknanya, hasil kegiatan ekonomi akan digunakan untuk keluarga mereka. Segala kelebihan pengeluaran akan dijual, hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain yang juga menjadi asas keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan.
Sistem ekonomi komersil hanya wujud di Tanah Melayu setelah kehadiran penjajah British pada abad ke-19. Kehadiran mereka telah mempergiatkan bentuk ekonomi tersebut memandangkan mereka mempunyai teknologi yang lebih maju. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat dilihat dalam sektor perdagangan dan perlombongan.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Pertanian
Kegiatan pertanian merupakan kegiatan ekonomi sara diri masyarakat Melayu tradisional yang sangat penting. Merujuk kepadanya, padi pula merupakan tanaman utama memandangkan ia adalah makanan asasi masyarakat di rantau ini.
Di Malaysia, dua jenis padi telah diusahakan iaitu padi sawah dan padi huma (bukit). Padi sawah ditanam di kawasan rendah dan di lembah-lembah sungai yang subur dengan tanah alluvium. Penanaman padi sawah dipercayai diperkenalkan oleh orang Thai di negeri-negeri Melayu Utara dan orang Minangkabau di negeri-negeri Selatan.
Negeri-negeri yang terkenal dalam penanaman padi sawah di Tanah Melayu ialah Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Antara negeri ini, Kedah merupakan negeri yang terkenal sebagai jelapang padi negara kita. Menjelang abad ke-18, dataran Perlis dan Seberang Perai juga turut menjadi kawasan penanaman padi yang utama. Penanaman padi sawah ini berkembang dengan pesat adalah dipengaruhi oleh sistem pengairan yang digunakan sejak abad ke-19.
Air telah dibawa masuk ke sawah padi melalui tali air dan terusan. Antara terusan yang terkenal ialah Terusan Wan Mat Saman yang dibina pada tahun 1885 di Kedah. Di Negeri Sembilan pula, kincir telah dibina untuk membawa air masuk ke sawah padi. Berbanding dengan penanaman padi sawah, padi huma ditanam secara berpindah-randah setiap kali penanaman dijalankan kerana kesuburan tanah telah hilang atau berkurangan. Biasanya, padi huma ditanam di kawasan yang bergunung-ganang. Sebagai contoh, suku kaum Dusun dari Murut di Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman melakukan kegiatan penanaman padi huma. Walau bagaimanapun, terdapat juga tanaman-tanaman lain sebagai pelengkap kepada hasil padi seperti ubi, sayur-sayuran dan sebagainya. Penanaman tanaman ini menjadi penting kerana ia merupakan “makanan selang”. Selain itu, ubi juga dapat dijadikan sebahagian makanan utama sewaktu bekalan beras tidak mencukupi.
[Sunting] Perikanan
Ikan merupakan sumber makanan kepada masyarakat Melayu tradisional. Kegiatan perikanan merupakan pekerjaan utama bagi masyarakat Melayu yang tinggal di tepi laut dan sungai. Hasil tangkapan akan dijadikan keperluan diri sendiri dan lebihan hasil akan dijual. Kegiatan perikanan dapat dilihat khasnya di negeri Terengganu dan Pahang. Mereka menjalankan aktiviti mereka di antara bulan Mac hingga bulan Oktober dan dihentikan antara bulan November hingga Februari kerana masa itu merupakan musim tengkujuh. Pada musim tengkujuh, nelayan-nelayan di negeri ikan akan menangkap ikan di kolam, sungai dan sawah padi. Selain itu, mereka juga cuba memperbaiki alat-alat penangkapan mereka pada masa ini. Di laut, nelayan menggunakan pukat, jala, jaring, bubu, kelong dan rawai untuk menangkap ikan. Di sungai pula, pancing, jala, tangguk, kai, lukah, tomak dan serampang digunakan untuk menangkap ikan.
[Sunting] Perdagangan
Kegiatan perdagangan di Tanah Melayu merupakan lanjutan daripada kegiatan perlombongan memandangkan bahan-bahan perdagangan itu sendiri lebih berasaskan kepada bahan-bahan mentah. Walau bagaimanapun, terdapat juga bahan-bahan dagangan yang berorientasikan kepada hasil-hasil pertanian. Dalam soal perkembangan perdagangan, beberapa aspek yang berkaitan seperti sistem pengangkutan, perkapalan dan sebagainya telah dibincangkan. Dalam tahun 1879, pendapatan cukai terhadap perlombongan bijih timah dari Perak dan Selangor masing-masing berjumlah $281823 dan $107558. Dalam tahun 1895, eksport bijih timah mencapai paras 127714498 (89% daripada nilai jumlah eksport Negeri-negeri Melayu Bersekutu) bagi negeri Perak dan Selangor. Hasil yang banyak membolehkan British menjalankan rancangan pembinaan jalan keretapi dan sebagainya. Pembinaan infrastruktur ini membolehkan bijih timah dieksport dengan mudah. Tetapi pengeluaran bijih timah yang banyak menyebabkan lebihan penawaran di pasaran dunia. Dengan itu, harga bijih timah telah menyusut dari 99.7 pound setan (1870-an) kepada 96.7 pound setan (1880-an). Beberapa langkah telah diambil oleh British untuk menyekat dan mengawal pengeluaran bijih timah agar harganya tidak turun. Selain bijih timah, lada hitam, rempah, gambir dan tebu juga merupakan barang dagangan yang penting. Kegiatan penanaman tumbuhan ini dapat dilihat di Johor dimana orang Cina yang berhijrah dari Singapura mengusahakan penanaman gambir; di Pulau Pinang dan Perak usaha penanaman tebu dijalankan oleh orang Eropah dan orang Cina.
Bermula, abad ke-20, getah pula menjadi tanaman eksport atau hasil dagangan yang penting kerana ia sangat menguntungkan. Perkembangannya berhubung rapat dengan sistem pengangkutan, sebab itulah banyak kemudahan infrastruktur dibina. Perkembangan yang pesat dalam penanaman getah telah menambahkan lagi hasil perdagangan Tanah Melayu. Antara tahun 1906-1929, purata keluasan penanaman getah di Tanah Melayu telah meningkat dari 129809 hektar kepada 2971000 hektar dan eksport getah telah bertambah dari 6500 tan dalam tahun 1910 kepada 456000 tan pada tahun 1929. Harga getah juga meningkat daripada 1s3d sepaun kepada 2s6d sepaun antara tahun 1830-1900. Harganya terus menaik sehingga 8s9d sepaun pada tahun 1910. Walau bagaimanapun, pengeluaran yang tidak terkawal menyebabkan kelebihan penawaran dan harga getah telah merosot daripada 8s9d (1910) kepada 1s10d sepaun (1920-an). Fenomena ini menyebabkan British mengambil langkah untuk menyusun semula program perusahaan getah dan beberapa pendekatan telah dibuat seperti Rancangan Sekatan Stevenson (1922-1928). Sejak 1917, kelapa sawit telah ditanam secara komersil di Selangor. Akibat kemelesetan harga getah, kawasan penanaman kelapa sawit telah meningkat dari 4900 hektar (1926) kepada 25777 hektar (1933). Hasil kelapa sawit seterusnya menjadi bahan dagangan yang penting di Tanah Melayu.
[Sunting] Perlombongan
Perlombongan di Tanah Melayu selalunya merujuk kepada perlombongan bijih timah memandangkan hasil perlombongan logam lain seperti emas adalah terlalu sedikit. Secara amnya, aktiviti ini dijalankan secara kecil-kecilan terutama oleh pembesar-pembesar Melayu. Dalam tempoh yang lebih lewat, penggunaan pam kelikir dan sebagainya telah merangsangkan hasil pengeluaran terus meningkat.
[Sunting] Bijih timah
Industri bijih timah merupakan satu industri yang tertua di Tanah Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bijih timah telah menarik minat pedagang-pedagang asing dari Mediterranean, Arab, India dan China. Timah yang dilombong daripada kawasan pedalaman telah dilebur dan dijadikan timah jongkong lalu dibawa ke hilir sungai untuk diperniagakan.
Kekayaan bijih timah di Tanah Melayu dapat dibuktikan melalui seorang pengembara Arab yang bernama Abu Dulaf (abad ke-10). Beliau berkata “di seluruh dunia tidak ada lombong bijih timah seperti di Tanah Melayu”. Pada abad ke-12 pula, seorang penulis Itali mengulas bahawa bijih timah di Tanah Melayu sangat tulen dan bercahaya. Menurut sumber China pula, Melaka dan Pahang ada mengeksport bijih timah. Catatan J.F.A. McNair pula menunjukkan, bijih timah mula dilombong di Perak pada tahun 1616 di Manjung dan Beruas.
Sehingga tahun 1820-an, perlombongan bijih timah merupakan perusahaan orang Melayu. Lombong-lombong ini dikuasai oleh raja dan pembesar. Mereka menggunakan cara melampan dan mendulang untuk melombong. Hasilnya adalah terhad. Selain itu, sikap orang Melayu yang menganggap perlombongan itu hanya merupakan pekerjaan sambilan menyebabkan perkembangannya tidak pesat.
Atas inisiatif pembesar, mereka telah menggalakkan kemasukan orang Cina sebagai buruh. Keadaan ini jelas dilihat mulai tahun 1820-an, apabila orang Cina mula melibatkan diri dalam perlombongan bijih timah. Selain itu, akibat perubahan radikal di Eropah dari segi penggunaan bijih timah, permintaan terhadapnya telah meningkat. Pengambilan buruh Cina juga dipergiatkan lagi.
Pada tahun 1840-an, perusahaan ini mula bertukar corak dengan penemuan kawasan baru, kemasukan modal Cina dan pengenalan cara-cara perlombongan yang lebih efektif oleh orang Cina. Keadaan ini telah membawa perubahan kekuasaan dan kaitan politik orang Cina di Tanah Melayu secara keseluruhan. Keadaan ini telah memberi peluang kepada British untuk campur tangan dalam hal-hal pentadbiran Tanah Melayu.
Selain itu, kerajaan British juga berusaha untuk mewujudkan suasana yang menyenangkan kepada perkembangan perusahaan bijih timah swasta kepunyaan orang Eropah. Mereka menggunakan kapal korek untuk melombong. Penggunaan kapal korek dapat melombong dengan banyak tetapi kaedah ini memerlukan belanja yang tinggi. Dengan itu, perusahaan bijih timah oleh orang Cina mulai diambil alih oleh syarikat Eropah kerana modal orang Cina adalah kecil dan tidak mampu memperolehi kapal korek menyebabkan mereka sentiasa mengalami kerugian dan akhirnya menjual perusahaan lombong bijih timah mereka kepada syarikat British.
[Sunting] Emas
Menurut J. Kennedy, perlombongan emas mungkin telah dijalankan berhampiran dengan Melaka pada zaman Neolitik lagi dan kenyataan ini mungkin benar kerana semenjak dahulu, emas merupakan dagangan yang penting di Tanah Melayu sehinggakan Tanah Melayu dikenali sebagai Semenanjung Emas atau Semenanjung Kencana. Dinyatakan bahawa di Pahang terutamanya di Kuala Lipis, perlombongan emas telah dijalankan selewat-lewatnya semenjak abad ke-16 lagi. Perusahaan ini pada umumnya merupakan perusahaan orang Melayu dan jumlah pengeluarannya adalah kecil.
Pada tahun 1889, Raub Australian Gold Mining Company (oleh orang Australia) telah ditubuhkan. Ia merupakan syarikat perlombongan emas yang terpenting di Tanah Melayu dan ditutup pada tahun 1960-an.
[Sunting] Arang batu
Perlombongan arang batu dijalankan di Batu Arang (Selangor) dan Enggor (Perak). Kegiatan ini dijalankan oleh Syarikat Malayan Collieries semenjak tahun 1915. Arang batu yang diperolehi telah dijual dalam pasaran tempatan kepada Keretapi Tanah Melayu, stesen-stesen kuasa dan lombong bijih timah. Dalam tahun 1950-an, pengeluaran arang batu mula merosot sebagai akibat persaingan dengan bahan api minyak. Dengan itu, lombong arang batu di Batu Arang telah ditutup pada tahun 1960.
[Sunting] Bijih besi
Perlombongan bijih besi hanya dijalankan oleh syarikat-syarikat Jepun hanya selepas Perang Dunia I di Johor dan Terengganu serta Kelantan. Bijih besi ini kemudian dieksport ke negara Jepun dan menjelang tahun 1938, kira-kira setengah daripada jumlah import bijih besi Jepun datangnya dari Tanah Melayu.
[Sunting] Bauksit
Bauksit hanya mula dikenali dan dijalankan perlombongannya pada tahun 1936 di Bukit Pasir berhampiran dengan Batu Pahat. Sebelum Perang Dunia II, dua lombong bauksit telah dibuka iaitu di Perigi Acheh dan Sri Medan. Namun kedua-dua lombong tersebut telah ditutup pada tahun 1941 apabila meletusnya Perang Dunia II. Kebanyakan hasil bauksit Tanah Melayu dieksport ke negara Jepun dan hanya sebahagian kecil sahaja dieksport ke Australia dan Taiwan.
[Sunting] Fakta Ekonomi
KDNK: paroti kuasa membeli - $229.1 bilion (anggaran 1999)
KDNK - kadar pertumbuhan sebenar: 5% (anggaran 1999)
KDNK - per kapita: paroti kuasa membeli - $10,700 (anggaran 1999)
KDNK - komposisi oleh sektor:
pertanian: 12%
industri: 46%
perkhidmatan: 42% (1998)
Populasi di bawah garis kemiskinan: 6.8% (anggaran 1997)
Pendapatan serumah atau penggunaan menurut peratusan perkongsian:
terendah 10%: 1.4%
tertinggi 10%: 20.4% (anggaran 1997)
kadar inflasi (harga pengguna): 2.8% (1999)
Daya pekerja (Labor force): 9.3 juta (anggaran 1999)
Daya pekerja - oleh pekerjaan: perkilangan 27%, pertanian, perhutanan, dan perikanan 16%, perdagangan tempatan dan pelancongan 17%, perkhidmatan 15%, kerajaan 10%, pembinaan 9% (anggaran 1999)
Kadar pengangguran: 3% (anggaran 1999)
Bajet:
keuntungan: $23.2 bilion
perbelanjaan: $27.6 bilion, termasuk perbelanjaan kapital (1999)
Industri: Semenanjung Malaysia - pemprosesan dan pengilangan getah dan kelapa sawit, industri pembuatan ringan, elektronik, perlombongan timah dan smelting, penebangan dan pemprosesan balak; Sabah - pembalakan, penghasilan petroleum; Sarawak - pemprosesan, penghasilan dan penyaringan petroleum, pembalakan.
Kadar pertumbuhan pembuatan industri: 8.5% (anggaran 1999)
Elektrik - penghasilan: 57,435 GWh (1998)
Elektrik - pengeluaran menurut sumber:
fossil fuel: 94.78%
hidro: 5.22%
nuklear: 0%
lain-lain: 0% (1998)
Elektrik - penggunaan: 53,423 GWh (1998)
Elektrik - eksport: 75 GWh (1998)
Elektrik - import: 83 GWh (1998)
Pertanian - produk: Peninsular Malaysia - getah, minyak sawit, beras; Sabah - subsistence crops, getah, pembalakan, kelapa, beras; Sarawak - getah, lada hitam; pembalakan
Eksport: $83.5 bilion (anggaran 1999)
Eksport - komoditi: peralatan elektronik, petroleum dan gas asli cair, bahan kimia, minyak sawit, kayu dan produk kayu, getah, tekstil
Eksport -rakan kongsi: AS 23%, Singapura 16%, Jepun 11%, Hong Kong 5%, Belanda 5%, Taiwan 5%, Thailand 3% (anggaran 1999)
Import: $61.5 bilion (anggaran 1999)
Import - komoditi: jentera dan peralatan, bahan kimia, makanan , bahanapi dan pelincir
Import - rakankongsi: Jepun 21%, AS 18%, Singapura 14%, Taiwan 5%, Korea Selatan 5%, Thailand 4%, China 3% (anggaran 1999)
Hutang - luar: $43.6 bilion (anggaran 1999)
Matawang: 1 Ringgit Malaysia (RM) = 100 sen
Kadar pertukaran: ringgit (RM) setiap ASD$1 - 3.6991 (April 2006) 3.8000 (Januari 2000), 3.8000 (1999), 3.9244 (1998), 2.8133 (1997), 2.5159 (1996), 2.5044 (1995)
Negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia | |
---|---|
Negeri: Johor | Kedah | Kelantan | Melaka | Negeri Sembilan | Pahang | Perak | Perlis | Pulau Pinang | Sabah | Sarawak | Selangor | Terengganu | |
Wilayah Persekutuan: Kuala Lumpur | Labuan | Putrajaya |