Orang India Malaysia
From Wikipedia
Orang India Malaysia ialah satu kaum di Malaysia yang berketurunan daripada mereka yang berhijrah dari India Selatan semasa pemerintahan British di Tanah Melayu.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Sejarah
Orang-orang India telah berhijrah ke Malaysia sejak 2,000 tahun yang lalu. Kumpulan-kumpulan seperti komuniti Chitty Melaka dan komuniti Mamak merupakan keturunan penghijrah semasa Kesultanan Melaka dan kemudiannya semasa pendudukan Melaka oleh orang Portugal dan Belanda. Perolehan Negeri-negeri Selat — Pulau Pinang, Melaka dan Singapura — oleh pihak British antara tahun 1786 hingga 1824 memulakan satu aliran masuk tidak putus-putus yang terdiri daripada buruh, pedagang, supai, dan banduan yang melibatkan diri dalam bidang pembinaan, pertanian dagangan, pertahanan, dan perdagangan. Bagaimanapun, penghijrahan orang India secara beramai-ramai dari subbenua India ke Tanah Melayu menyusul:
- peluasan pemerintahan British ke negeri-negeri Melayu yang terletak di pantai barat sejak dekad 1870-an; dan
- pertumbuhan ekonomi perladangan getah yang kemudian.
Penduduk India di Tanah Melayu dan Singapura sebelum kemerdekaan terdiri terutamanya daripada orang dewasa lelaki yang meninggalkan keluarga mereka di India and Sri Lanka. Oleh itu, dengan kedatangan dan kepulangan mereka, bilangan penduduk India naik turun dengan kerap. Pada tahun 1901, bilangan penduduk India di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ialah lebih kurang 120,000. Menjelang 1931, bilangan ini telah bertambah menjadi 640,000 di Tanah Melayu dan Singapura, dan di negeri Selangor, bilangan mereka melebihi orang Melayu pada tahun itu. Bilangan penduduk India hampir-hampir tidak berubah sehingga 1947 disebabkan mereka pergi ke Myanmar semasa pendudukan Jepun sebagai rekrut untuk Angkatan Tentera Kebangsaan India, dan kuli untuk Landasan Kematian. Pada tahun 2005, orang India merupakan lebih kurang 7% daripada jumlah penduduk di Malaysia (sekitar 1.8 juta).
[Sunting] Penghijrahan Tamil
Sebahagian penghijrah India yang amat besar terdiri daripada penutur bahasa Tamil dari negeri Tamil Nadu. Pada tahun 1947, mereka merupakan 77% daripada jumlah penduduk India di Tanah Melayu dan Singapura. Orang India Selatan yang lain, khususnya orang Malayalee dan Telugu, merupakan lagi 14% pada tahun 1947, dan baki komuniti India terdiri daripada orang India Utara, terutamanya orang Punjabi, Bengali, Gurjarati, dan Sindhi.
[Sunting] Pembahagian pekerjaan
Pembahagian etnik lebih kurang mengikuti pengkhususan pekerjaan. Umpamanya, kebanyakan orang Tamil bekerja sebagai buruh ladang, terutamanya di ladang getah, walaupun sebahagian kecil juga bertugas di jabatan-jabatan perkhidmatan awam. Kebanyakan orang Telegu juga bekerja sebagai buruh ladang, sedangkan komuniti Malayalee dibahagikan kepada mereka yang bertugas sebagai pekerja mahir di ladang-ladang, dan mereka yang bertugas sebagai pekerja kolar putih atau ahli profesional.
Orang India Utara, kecuali orang Sikh, terdiri terutamanya daripada pedagang dan peniaga. Umpamaya, orang Gujarati dan Sindhi memiliki sebilangan syarikat tekstil yang penting di Tanah Melayu. Orang Sikh biasanya bertugas sebagai polis atau penjaga.
[Sunting] Kelompok etnik yang lain
Selain daripada kumpulan orang India yang tersebut di atas, terdapat juga tiga kumpulan etnik dan agama yang mempunyai kepentingan politik dan ekonomi yang jauh melebihi bilanganya. Dua daripadanya ialah komuniti perniagaan yang penting, iaitu:
- chettiar Tamil yang merupakan kasta pedagang dan peminjam wang dari Tamil Nadu; dan
- orang Muslim India Selatan, iaitu orang Moplah dari Kerala dan orang Marakkayar dari Tamil Nadu yang kebanyakannya merupakan pemborong.
Kumpulan ketiga ialah Tamil Sri Lanka yang kebanyakannya bertugas dalam Perkhidmatan Awam dan bidang-bidang profesional.
[Sunting] Taburan geografi
Kesepadanan yang rapat antara pembahagian etnik dan pekerjaan komuniti India dibayangkan dalam taburan geografi kaum India di Tanah Melayu. Orang Tamil India Selatan bertumpu, khususnya di ladang getah dan landasan kereta api Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan, walaupun sebilangan mereka juga bekerja di limbungan Pulau Pinang.
Orang Telugu banyak terdapat di ladang-ladang getah Perak Bawah dan beberapa bahagian di Selangor, sedangkan orang Malayalee tinggal terutamanya di Perak Bawah, Kuala Lumpur, beberapa bahagian di Negri Sembilan, serta di Johor Bahru.
Komuniti-komuniti perniagaan, iaitu komuniti Gujarati, Sindhi, Chettiar, dan Muslim Tamil, bertumpu di kawasan bandar, terutamanya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Ipoh. Tamil Sri Langka pada umumnya juga merupakan komuniti bandar, walaupun sebilangan mereka juga tinggal di kawasan-kawasan luar bandar sebagai kakitangan ladang.
[Sunting] Slanga yang menghina untuk orang India Malaysia
Keling ialah slanga yang menghina bagi orang Tamil atau Hindu di Malaysia. Istilah ini pada asalnya digunakan untuk memerihalkan penghijrah-penghijrah dari daerah Kelinga di India tengah. Bagaimanapun, terdapat sebuah teori bahawa istilah itu bermula semasa pemerintahan jajahan British ketika negara ini masih dikenali sebagai Tanah Melayu.
Baru-baru ini, istilah "keling" pernah digunakan oleh Ahli-ahli Parlimen Malaysia yang mengakibatkan kegemparan di kalangan orang India yang menuduh ahli-ahli parlimen untuk rasisme. Penggunaan popular di Malaysia juga menunjukkan nada ketakhormatan terhadap orang India di Malaysia.