Abdul Ghafar bin Baba
From Wikipedia
Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Kehidupan Awal
Beliau dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politiknya.
[Sunting] Politik
Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun.
Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan menjadi Naib Presiden UMNO.
Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955.Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga tahun 1963.
Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 4 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir.
Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA dari 1 September 1967 hingga 31 Otober 1971 dan merupakan pengasas Kolej MARA yang kini sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd selama 10 tahun bermula 1 September 1976.
Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku presiden selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.
[Sunting] Keluarga
Beliau berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Asmah binti Alang dan kemudian berkahwin dengan D. Heryati binti Abdul Rahim pada tahun 1992, tetapi bercerai pada tahun 2003. Beliau dikurniakan 11 orang anak.
[Sunting] Meninggal Dunia
Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:34 pagi kerana diserang sakit jantung. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
[Sunting] Jawatan
- Setiausaha Kesatuan guru - guru 1946 - 1948,
- Setiausaha UMNO Melaka 1951
- Pengerusi UMNO Melaka 1955
- Ketua Menteri Melaka 1959 - 1963
- Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1957
- Ketua Penerangan UMNO 1958
- Naib Presiden UMNO 1962 - 1987
- Presiden de facto MCA pada tahun 1985 (MCA mengalami krisis kepimpinan pada 1985 dan 1986)
- Timbalan Perdana Menteri 1986 - 1993
[Sunting] Lihat Juga
Penyandang Terdahulu | Timbalan Perdana Menteri Malaysia 10 Mei 1986 – 15 Oktober 1993 |
Penyandang Kemudian |
Tun Musa Hitam |
Dato' Seri Anwar Ibrahim |