Stadium Merdeka
From Wikipedia
Stadium Merdeka merupakan stadium sukan di Kuala Lumpur. Kerja-kerja pembinaannya diselenggarakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mulai bulan Julai, 1956. Pada 15hb Februari 1957,Almarhum Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah meletakkan batu asas Stadium Merdeka. Stadium ini mempunyai kemudahan dan kelengkapan sukan yang setanding dengan stadium-stadium antarabangsa di negara-negara lain ketika itu dan mempunyai tempat duduk bagi 22,000 orang, dan 3,000 darinya terletak di bawah bumbung ketika dibuka. Kini stadium ini mampu menampung sehingga 45,000 orang penonton.
la mempunyai 14 buah "terowong" yang merupakan pintu keluar-masuk stadium. Kawasan tempat duduk yang berbumbung itu adalah sepanjang 30 kaki, bumbungnya 60 kaki panjang ke hadapan dan tinggi 40 kaki dari bawah. Empat buah tiang lampu setinggi 140 kaki juga dibina untuk kegunaan upacara-upacara yang diadakan di waktu malam.
Pembinaan stadium ini adalah merupakan satu kemajuan ke arah perkembangan dan kegiatan sukan dan kebudayaan di negara ini. Dengan adanya stadium ini, ia dapat memberi kemudahan bagi kegiatan-kegiatan sukan, kebudayaan dan perhimpunan-perhimpunan raksaksa peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di samping itu, perpaduan yang erat dapat ditanamkan melalui kegiatan-kegiatan sukan dan upacara kebangsaan yang diadakan di Stadium ini.
Stadium ini mula digunakan untuk satu upacara yang bersejarah dalam sejarah tanahair, iaitu pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31hb Ogos, 1957 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman. Seramai 10,000 orang membanjiri stadium ini ketika perisytiharan itu dibuat pada pagi 31hb Ogos 1957 itu.
Tetapi pada satu ketika,walaupun stadium yang diuruskan oleh Perbadanan Stadium Merdeka ini menjadi satu tempat paling bersejarah, ia pernah dicadangkan untuk dirobohkan semasa zaman Tun Dr. Mahathir. Alasannya adalah bagi memberi peluang kepada pembangunan kompleks pejabat dan hiburan bernilai RM 1 billion. Tetapi atas inisiatif beberapa orang termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sekarang yang menghantar surat kepada Tun Dr. Mahathir supaya stadium ini jangan dirobohkan, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terlalu sentimental dengan nilai sejarah ini. Akhirnya pada Februari 2003, Stadium Merdeka telah dinamakan sebagai bangunan warisan kebangsaan.
[Sunting] Peristiwa Yang Berlaku Di Stadium Merdeka
- Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31hb Ogos, 1957.
- Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa (dahulunya Musabaqah Al-Quran) Kali Pertama di adakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, 1960.
- Sukan SEA(dahulunya Sukan SEAP)
- Pestabola Merdeka