Hani Mohsin
From Wikipedia
Hani Mohsin Hanafi (18 Jun 1965- 25 Julai 2006) adalah seorang artis terkenal dari Malaysia dan juga pengacara rancangan gameshow tempatan Roda Impian.
Jadual isi kandungan |
[Sunting] Kehidupan Awal
Beliau yang dilahirkan Kangar, Perlis mula menjinakkan diri dengan dunia lakonan ketika menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan minat itu semakin bercambah apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.
Di UiTM, Allahyarham mengasah bakat lakonan hingga dilantik sebagai Presiden Persatuan Anak Seni Kampus atau Peska. Selepas tamat pengajian di UiTM pada 1987, Mohsin bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah firma swasta.
[Sunting] Kerjaya Sebagai Pelakon
Namun, ia bertahan setakat sembilan bulan apabila kerap ponteng bekerja kerana mencari peluang untuk berlakon. Ketika itu, dia menerima tawaran berlakon drama pertama Tapak Gemilang arahan Rahman Adam dan seterusnya siri Naik Tangga Turun Tangga selama 26 episod.
Cerekarama yang dibintangi pada 1988 itu seolah-olah memberi harapan bintangnya dalam bidang seni akan cerah. Kemampuan Mohsin sebagai aktor disegani mula diakui dan filem Jimi Asmara serta Embun membuktikan dia antara pelakon lelaki yang mempunyai ruang mencipta nama besar.
Jimi Asmara benar-benar mempopularkan Mohsin. Malah, sejak muncul dalam filem period arahan pengarah wanita, Erma Fatima ramai peminat memanggilnya dengan nama watak yang dibawakan Mohsin dalam filem itu.
Kesan Jimi Asmara, Mohsin dilamar M Nasir untuk membintangi filem, Merah selepas tertarik dengan penampilannya dalam filem itu.
Secara peribadi, Mohsin puas dengan watak itu apatah lagi peluang membintangi filem period seperti itu tidak selalu datang. Ternyata pengaruh Jimi Asmara agak ‘melekat’ dengan pelakon itu kerana selepas filem terbabit, dia menerima beberapa tawaran watak bercorak period seperti teater, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris.
Bagi Mohsin sendiri, watak period memang menarik kerana ia seperti membawanya kembali ke zaman lampau yang klasik. Kelebihan itu juga membawa pengarah asing, John Boorman menawarkannya watak sebagai lelaki Burma dalam filem Beyond Rangoon.
Demi menghidupkan wataknya, Mohsin sanggup botakkan kepala.
[Sunting] Penerbit
Selepas enam tahun berkecimpung sebagai pelakon, Allahyarham memperluaskan langkahnya dengan menjadi produser pada 1994 menerusi syarikatnya, Imagine Pictures. Antara drama yang diterbitkan syarikatnya ialah Boneka, Aida Shada, Kita Bertemu Di Cameron Highlands, Keranda Buat Kekanda, Jauh (12 Episod) dan Pukul 2 Petang.
Pun begitu, Mohsin agak keberatan untuk mencuba bakat sebagai pengarah. Memetik katanya dalam satu temu bual, "Tidak guna jadi pengarah kalau sekadar mahu menambahkan bilangan pengarah tempatan sedangkan hasilnya tiada. Saya belum bersedia kerana banyak lagi ilmu yang perlu ditimba."
Selain berlakon, Allahyarham juga dikenali sebagai pengacara berkaliber. Rancangan permainan, Roda Impian siaran Astro Ria menyerlahkan nama Mohsin sebagai pengacara apabila terpilih untuk memimpin program itu menggantikan Halim Othman.
Mohsin menyertai Roda Impian pada 2003 untuk musim ke lapan dan sehingga ini sudah merakamkan lebih 500 episod termasuk untuk musim ke-11.
[Sunting] Keluarga
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan aktres dan produser, Tiara Jacquelina pada 11 September 1993 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hani Karmila. Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila Mohsin dan Tiara berpisah pada 16 Februari 1998. Perceraian mereka disahkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun tahun yang sama.
[Sunting] Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada 25 Julai 2006 di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana pengsan akibat serangan sakit jantung ketika beliau menunggu penerbangan ke Pulau Langkawi untuk melancong bersama anaknya Hani Karmila.
[Sunting] Filem:
- Nadia
- Operasi Cegah Jenayah (OCJ)
- Hanny
- Ringgit Kasorrga
- Beyond Rangoon
- Jimi Asmara,
- Merah