Batu bersurat Singapura
From Wikipedia
Batu bersurat Singapura merujuk kepada satu batu bersurat yang dijumpai ketika Sir Stamford Raffles membuka Singapura. Jumpaan batu bersurat tersebut terdapat di dalam karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Batu bersurat tersebut berbentuk empat segi, selebar sedepa (1.7 meter) dan mempunyai tulisan dipahat. Batu bersurat tersebut dijumpai di hujung tanjung semasa pembukaan Singapura, dan kekal sehingga semasa Bonham menjadi gabenor bagi Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Ketika itu seorang jurutera Inggeris bernama Coleman telah memecahkan batu tersebut.
Beberapa usaha mengenalpasti jenis tulisan telah dilakukan semasa itu, teapi ianya masih tidak dapat dikenal pasti. Malah salinan tulisan tersebut telah di hantar ke London bagi mengenal pasti asal tulisan tersebut tetapi masih gagal. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi sendiri menyatakan ianya kelihatan seperti tulisan arab, tetapi akhirnya ia telah diputuskan oleh Raffles sebagai tulisan Hindi (Sanskrit) memandangkan usia batu bersurat tersebut yang begitu lama.
Yang amat menarik bagi batu bersurat Singapura ni adalah terdapat cerita yang selari mengenai batu bersurat ini yang terdapat di dalam Sulalatus Salatin. Di dalam karya tersebut telah dinyatakan dengan jelas mengenai seorang raja yang bergelar Raja Suran yang telah menakluk seluruh Tanah Melayu sehingga sampai ke Temasik. Di Temasik beliau telah membuat suatu monkor (peti kaca) dan masuk kelaut. Setelah itu, Raja Suran, dikatakan telah mendirikan satu batu bersurat yang menceritakan segala kisah penaklukannya, termasuk peristiwa baginda masuk ke dalam laut dalam bahasa Hindustani.
Ternyata batu bersurat ini mempunyai persamaan dengan batu bersurat Singapura, berdasarkan fakta berikut:-
- Kedua-dua batu bersurat tersebut didirikan di Temasik (Singapura).
- Kedua-dua batu bersurat tersebut dibina berhampiran laut. Batu bersurat Singapura dijumpai dihujung tanjung, sementara batu bersurat Raja Suran Batu dibina bagi memperingati kisah baginda masuk ke laut, pastinya dibina berhampiran dengan kawasan pantai, dan bukannya di kawasan berbukit.
- Kedua-duanya ditulis menggunakan abjad Hindustani.(Menurut pendapat Raffles).
- Kedua-duanya dibina pada zaman silam. (Sukar dipercayai terdapat dua batu bersurat dibina dalam tempoh yang dekat di tempat yang sama (Temasik) memandangkan batu bersurat amat jarang dijumpai.)
- Hanya raja yang berkuasa sahaja mempunyai pengaruh dan wang yang cukup bagi mendirikan batu bersurat. Tidak terdapat rekod mengenai raja yang kuat yang terdapat di Singapura selain rekod di dalam Sulalatus Salatin mengenai raja Suran.