Ebooks, Audobooks and Classical Music from Liber Liber
a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z





Web - Amazon

We provide Linux to the World


We support WINRAR [What is this] - [Download .exe file(s) for Windows]

CLASSICISTRANIERI HOME PAGE - YOUTUBE CHANNEL
SITEMAP
Audiobooks by Valerio Di Stefano: Single Download - Complete Download [TAR] [WIM] [ZIP] [RAR] - Alphabetical Download  [TAR] [WIM] [ZIP] [RAR] - Download Instructions

Make a donation: IBAN: IT36M0708677020000000008016 - BIC/SWIFT:  ICRAITRRU60 - VALERIO DI STEFANO or
Privacy Policy Cookie Policy Terms and Conditions
Iskandar Agung - Wikipedia

Iskandar Agung

From Wikipedia

Arca Iskandar Agung di Muzium British.
Besarkan
Arca Iskandar Agung di Muzium British.

Iskandar Agung (Alexander III dari Macedonia; bahasa Greek Μέγας Αλέξανδρος, ditransliterasikan sebagai Megas Alexandros; Julai 356 SM - 10 Jun 323 SM) dianggap sebagai salah satu daripada komander yang amat berjaya dalam sejarah dunia. Beliau menakluk hampir seluruh dunia yang dikenali oleh orang Yunani sebelum kematiannya.

Selepas penyatuan kesemua negara kota Yunani di bawah pemerintahan ayahandanya, Philip II dari Macedonia, (suatu tugas yang Iskandar terpaksa ulangi kerana orang Yunani selatan memberontak selepas kematian Philip), Iskandar menakluk Empayar Parsi, termasuklah Anatolia, Syria, Phoenicia, Gaza, Mesir, Bactria, serta Mesopotamia, dan memperluaskan sempadan empayarnya sehingga kawasan Punjab. Iskandar menyerap orang-orang asing (bukan orang Macedonia dan Yunani1) ke dalam angkatan tentera dan pentadbirannya, dan oleh itu, menyebabkan sebilangan cendekiawan memberikan penghargaan kepadanya untuk "polisi pergabungan". Beliau menggalakkan perkahwinan antara askar-askarnya dengan orang-orang asing, serta turut mengamalkan galakannya itu. Selepas dua belas tahun kempen tentera yang berterusan, Iskandar meninggal dunia, mungkin disebabkan oleh demam malaria atau tifoid, atau juga virus ensefalitis. Penaklukannya mengambil kira penempatan orang Yunani serta pemerintahan kawasan asing selama berabad-abad lamanya dan tempoh itu dikenali sebagai Zaman Yunani. Iskandar terus dikenang dalam sejarah dan mitos kebudayaan Yunani serta bukan Yunani. Semasa hidupnya dan khususnya, selepas kematiannya, kehandalan Iskandar telah menjadi ilham sebuah tradisi kesusasteraan yang mana beliau muncul sebagai wira legenda dalam tradisi Achilles.

[Sunting] Gelaran yang lain

Iskandar juga dikenali:

  • dalam Arda Wiraz Nāmag, sebuah karya bahasa Parsi Zaman Pertengahan Zoroaster, sebagai "Alexander Keji" kerana penaklukan Empayar Parsi serta pemusnahan ibu kota Persepolis. Bagaimanapun, dalam tradisi Parsi kemudian sehingga Iran pada hari ini, beliau telah dikenali sebagai Eskandar dan juga disanjung sewaktu pembinaan Dinding Agung Sadd-e Eskandar oleh Dinasti Parthia.
  • dalam tradisi-tradisi Timur Tengah sebagai Dhul-Qarnayn dalam bahasa Arab, dan Dul-Qarnayim dalam bahasa Ibrani dan bahasa Aramia (bertanduk dua), kerana gambarnya pada duit-duit syiling yang ditempah semasa pemerintahannya kelihatan seakan-akan dua tanduk biri-biri jantan Amun yang merupakan salah satu daripada dewa Mesir.
  • sebagai Sikandar dalam bahasa Hindi; istilah "Sikandar" digunakan di India sebagai sinonim untuk "pakar" atau "terlalu mahir".

Jadual isi kandungan

[Sunting] Kehidupan awal

Iskandar Agung ialah anak kepada Maharaja Philip II dari Macedonia dan Puteri Olympias dari Epirus. Menurut Plutarch (Alexander 3.1,3), Olympias dibuntingkan oleh Zeus Ammon, dan bukannya Philip yang takut akan Olympias dan kegemaran Olympias untuk tidur dengan ular. Plutarch (Alexander 2.2-3) menceritakan bahawa kedua-dua Philip dan Olympias bermimpi tentang anak yang akan dilahirkan. Olympias bermimpi tentang dentuman guruh dan kilat yang memanah rahimnya. Dalam mimpi Philip, baginda mengecap rahim isterinya dengan mohor singa. Berasa cemas oleh mimpi-mimpi itu, baginda berunding dengan peramalnya, Aristander dari Telmessus, yang menentukan bahawa isterinya hamil dan anaknya akan mempunyai sifat singa. Menurut lima orang ahli sejarah kuno (Arrian, Curtius, Diodorus, Justin, dan Plutarch), selepas lawatannya ke tempat keramat Amun di Siwa, khabar-khabar tersebar bahawa ramalannya telah mendedahkan ayahanda Iskandar sebagai Zeus, dan bukannya Philip. Menurut Plutarch (Alexander 2.1), ayahandanya adalah dari keturunan Heracles melalui Caranus, dan ibundanya dari keturunan Aeacus melalui Neoptolemus dan Achilles.

Aristotle ialah guru peribadi Iskandar. Beliau memberikan latihan yang teliti kepada Iskandar dalam bidang retorik dan kesusasteraan serta merangsangkan minatnya terhadap sains, perubatan dan falsafah. Aristotle juga memberikan beliau sebuah salinan Illiad dan sebilah pisau yang beliau sentiasa sorokkan di bawah bantal pada waktu malam.

[Sunting] Kebangkitan Macedonia

Ketika Philip mengetuai serangan terhadap Byzantium pada 340 SM, Iskandar yang berumur 16 tahun dilantik untuk memerintah Macedonia. Pada 339 SM, Philip mengambil isteri kedua, dan menyebabkan ibunda Iskandar, Olympias, berasa sedih. Ini pula menyebabkan perkelahian antara Iskandar dengan ayahandanya, sehingga pewarisan takhta Iskandar terhadap Macedonia hampir-hampir terjejas.

Pada tahun 338 SM, Philip mencipta Liga Corinth. Iskandar juga membantu ayahandanya dalam Perang Chaeronea yang berlaku pada tahun itu. Sayap pasukan askar berkuda yang diketuai oleh Iskandar memusnahkan Kumpulan Suci dari Thebes, kor elit yang sebelum itu dianggap tidak dapat dikalahkan. Philip berpuas hati dengan merampas Boeotia daripada Thebes dan meninggalkan sekumpulan garison di dalam kubu kota.

Iskandar Agung bertempur dengan Maharaja Parsi, Darius III (tiada dalam gambar). Gambar itu merupakan sebahagian daripada lukisan Yunani abad ke-3 SM, Mozek Alexander, yang berasal dari Pompeii tetapi kini telah hilang.
Besarkan
Iskandar Agung bertempur dengan Maharaja Parsi, Darius III (tiada dalam gambar). Gambar itu merupakan sebahagian daripada lukisan Yunani abad ke-3 SM, Mozek Alexander, yang berasal dari Pompeii tetapi kini telah hilang.

Pada tahun 336 SM, Philip dibunuh sewaktu menyertai istiadat perkahwinan anak perempuannya, Cleopatra dari Macedonia, dengan Maharaja Alexander dari Epirus. Pembunuhnya, Pausanias yang merupakan seorang bangsawan muda yang bersungut, dikatakan bekas kekasih Philip yang berdendam dengannya kerana baginda tidak mengendahkan satu rungutan yang dikemukakan olehnya. Pada suatu masa, pembunuhan Philip dianggap telah dirancang dengan pengetahuan dan penglibatan Iskandar atau Olympias. Lagi satu kemungkinan adalah Darius III yang merupakan Maharaja Parsi yang baru sahaja menaiki takhta. Plutarch menyebut sepucuk surat berang dari Iskandar kepada Darius yang menyalahkan Darius dan wazir agungnya, Bagoas, terhadap pembunuhan ayahandanya. Surat itu menyatakan bahawa Darius ialah orang yang bercakap besar dengan bandar-bandar Yunani tentang bagaimana baginda dapat membunuh Philip.

Selepas kematian Philip, angkatan tentera mengisytiharkan Iskandar yang berumur 20 tahun sebagai maharaja baru untuk Macedonia. Bandar-bandar Yunani seperti Athens dan Thebes, yang telah dipaksa berikrar untuk taat setia kepada Philip, melihat maharaja baru itu sebagai peluang untuk menuntut balik kemerdekaan penuh mereka. Iskandar bertindak dengan pantas dan Thebes, yang paling aktif menentanginya, menyerah sewaktu baginda muncul di depan pintu kotanya. Orang-orang Yunani yang berhimpun di Segenting Corinth, dengan kekecualian Sparta yang tunggal, memilihnya sebagai komander untuk menentangi Parsi. Darjah kebesaran itu dahulunya telah dikurniakan kepada ayahandanya.

Pada tahun yang berikut, iaitu 335 SM, Iskandar berasa lapang untuk bertempur dengan Thrace dan Illyria supaya dapat memperoleh Danube sebagai sempadan utara untuk kerajaan Macedonia. Sewaktu baginda berkempen dengan berjaya di utara, orang Thebes dan Athens memberontak sekali lagi. Iskandar bertindak balas dengan segera, dan sewaktu bandar-bandar yang lain teragak-agak tentang apa yang hendak dibuat selanjutnya, Thebes memutuskan untuk menentang dengan segala keupayaan mereka pada kali ini. Penentangan itu sia-sia; pada akhirnya, bandar itu ditewas dengan banyak petumpahan darah. Orang-orang Thebes menghadapi penderitaan yang amat teruk sewaktu bandar mereka dibakar dan wilayah mereka dibahagikan kepada bandar-bandar Boeotia. Tambahan pula, kesemua orang-orang bandar itu dijual sebagai hamba, kecuali bagi pendeta-pendeta, ketua-ketua parti pro-Macedonia dan keturunan-keturunan Pindar yang merupakan rumah tunggal yang tidak dikacau. Pengakhiran Thebes menakutkan Athens untuk menyerah, dan Athens sanggup menerima desakan Iskandar untuk membuang semua ketua parti anti-Macedonia, terutamanya Demosthenes.

[Sunting] Tempoh penaklukan

[Sunting] Kejatuhan Empayar Parsi

Peta untuk empayar Iskandar.
Besarkan
Peta untuk empayar Iskandar.

Angkatan tentera Iskandar melintasi Hellespont dengan kira-kira 42,000 orang askar yang terdiri khusus daripada orang Macedonia dan orang Yunani, dan termasuk juga sebilangan orang Thrace, Paionia dan Illyria. Selepas kemenangan awal menentang angkatan Parsi dalam Perang Granicus, Iskandar menerima penyerahan kalah oleh ibu kota daerah Parsi serta perbendaharaan Sardis dan menuju ke arah pantai Ionia. Di Halicarnassus, Iskandar berjaya membuat pengepungan yang pertama dari bayang yang berikutnya, dan akhirnya memaksa musuhnya, Memnon dari Rhodes yang merupakan kapten askar upahan dan Orontobates, pelindung Parsi dari Caria, untuk berundur melalui laut. Iskandar meninggalkan Caria dalam tangan Ada (perempuan) yang merupakan pemerintah Caria sebelum digulingkan oleh adiknya, Pixodarus. Dari Halicarnassus, Iskandar menuju ke Lycia yang bergunung-ganang serta dataran Pamphylia, dan mengawal semua bandar di persisiran pantai. Oleh sebab tiada pelabuhan yang utama dari Pamphylia, Iskandar menuju ke pedalaman.

Lukisan untuk arca kecil askar Yunani yang diperoleh dari tapak perkuburan abad 4-3 SM di yang terletak di utara Tian Shan. Tian Shan merupakan kemaraan Iskandar yang paling jauh di Timur (Muzium Xinjiang, Ürümqi, China).
Besarkan
Lukisan untuk arca kecil askar Yunani yang diperoleh dari tapak perkuburan abad 4-3 SM di yang terletak di utara Tian Shan. Tian Shan merupakan kemaraan Iskandar yang paling jauh di Timur (Muzium Xinjiang, Ürümqi, China).

Di Termessus, Iskandar menundukkan Pisidia, tetapi tidak menggempur bandar itu. Di Gordium, ibu kota Phrygia kuno, Iskandar "menguraikan" Simpulan Gordius (Gordian Knot), satu pencapaian dalam menunggu bakal "raja Asia". Menurut cerita yang paling jelas, Iskandar mengisytiharkan bahawa cara untuk membuka simpul itu tidak mustahak, dan menetak simpul itu dengan pedangnya. Satu versi lain mendakwa bahawa baginda tidak menggunakan pedang, tetapi tahu akan cara untuk membukanya.

Angkatan tentera Iskandar merentasi Genting Cilicia, bertemu dan menewaskan angkatan tentera Parsi yang utama di bawah arahan Darius III dalam Perang Issus pada tahun 333 SM. Darius melarikan diri dan meninggalkan isteri, anak-anak dan ibundanya, bersama-sama dengan kebanyakan harta peribadi. Sisygambis, ibunda Darius, tidak pernah memaafkan Darius kerana meninggalkannya. Oleh kerana itu, beliau tidak mengaku Darius sebagai anaknya dan sebaliknya, mengambil Iskandar sebagai anak angkat. Menuju pantai Mediterranean, baginda menakluk Tyre dan Gaza selepas melakukan pengepungan-pengepungan yang termasyhur (sila lihat Pengepungan Tyre). Iskandar melalui berhampiran (mungkin tidak mengunjungi) Al Quds (Jerusalem).

Dari 332 SM sehingga 331 SM, Iskandar dialu-alukan sebagai pembebas dalam Mesir dan baginda diisytiharkan sebagai anak Zeus oleh pendeta-pendeta Amun, dewa Mesir, di tempat keramat dewa itu yang terletak di Siwa di gurun Libya. Iskandar mengasaskan Alexandria (Iskandariah) di Mesir yang kemudian menjadi ibu kota yang makmur untuk Dinasti Ptolemy selepas kemangkatannya. Selepas meninggalkan Mesir, Iskandar menuju ke arah timur ke Assyria (kini Iraq utara) dan menewaskan Darius dan angkatan tentera Parsi yang ketiga di Perang Gaugamela. Darius terpaksa melarikan diri selepas pemandu ratanya dibunuh, dan Iskandar mengejarnya hingga keArbela. Sewaktu Darius lari melintasi gunung-ganang ke Ecbatana (Hamadan moden), Iskandar menuju ke Babylon.

Dari Babylon, Iskandar pergi ke Susa yang merupakan salah satu ibu kota Achaemenid, dan menawan perbendaharaannya. Dengan menghantar sebahagian besar angkatan tenteranya ke Persepolis, ibu kota Parsi, melalui Royal Road, Iskandar menawan Genting Parsi (di Gunung-ganang Zagros moden), dan kemudiannya memecut ke Persepolis sebelum perbendaharaannya dirampas. Iskandar membenarkan angkatan-angkatan Liganya untuk merampas Persepolis. Kebakaran terjadi di bahagian timur istana Xerxes dan merebak ke seluruh bandar. Tidak diketahui adakah kebakaran itu merupakan kemalangan mabuk ataupun tindakan sengaja yang diambil sebagai membalas dendam bagi kebakaran Akropolis Athen sewaktu Perang Parsi Kedua. Buku Arda Wiraz yang merupakan karya Zoroaster yang disusun pada abad ke-3 atau ke-4, juga menggambarkan arkib-arkib yang mengandungi "semua Avesta dan Zand yang ditulis di atas kulit-kulit lembu, dan dengan dakwat emas" telah dimusnahkan; bagaimanapun, kenyataan ini sering diterima oleh para cendekiawan dengan sedikit skeptisisme, kerana secara amnya, Avesta telah dianggap selama berabad-abad bahawa ia diturunkan secara lisan oleh puak Magi.

Mozek Pompei yang menggambarkan Iskandar bertempur dengan Darius di Perang Issus.
Besarkan
Mozek Pompei yang menggambarkan Iskandar bertempur dengan Darius di Perang Issus.

Iskandar kemudian bertolak untuk mengejar Darius yang diculik dan kemudiannya dibunuh oleh pengikut-pengikut Bessus, iaitu pelindung dan saudara Bactrianya. Bessus kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai waris Darius dengan nama "Artaxerxes V", dan berundur ke Asia Tengah untuk melancarkan kempen gerila terhadap Iskandar. Dengan kematian Darius, Iskandar mengisytiharkan penamatan perang balas dendam, dan melepaskan sekutu-sekutunya daripada perkhidmatan dalam kempen Liga. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin berkhidmat semula sebagai askar upahan dalam angkatan tentera maharajanya akan dibenarkan).

Kempen Iskandar selama tiga tahun menentang Bessus buat permulaanya dan kemudiannya Spitamenes, pelindung Sogdiana, membawanya ke Media, Parthia, Aria, Drangiana, Arachosia, Bactria, dan Scythia. (Pada akhirnya, kedua-dua tokoh itu dikhianati oleh orang-orang sendiri, Bessus pada tahun 329 SM dan Spitamenes pada tahun yang berikutnya.) Dalam proses itu, Iskandar menewaskan dan mengasaskan semula Herat dan Maracanda. Tambahan pula, Iskandar juga mengasaskan satu siri bandar-bandar yang baru, kesemuanya digelarkan "Alexandria", termasuknya Kandahar moden di Afghanistan, dan Alexandria Eschate (diterjemahkan sebagai "Alexandria yang Paling Jauh") di Tajikistan moden.

[Sunting] Permusuhan terhadap Iskandar

Ketika itu, Iskandar mengamalkan beberapa unsur pakaian dan adat resam Parsi di dalam istananya, terutamanya adat proskinesis, iaitu ciuman tangan yang orang Parsi memberikan kepada orang atasan sebagai simbol rasa hormat, tetapi amalan itu tidak disetujui oleh orang Yunani. Orang-orang Yunani menganggap bahawa perbuatan itu hanya dikhaskan untuk dewa-dewa, dan percaya bahawa Iskandar bermaksud hendak menjadikan dirinya sebagai dewa. Ini menyebabkan baginda bukan sahaja kehilangan sebahagian besar sokongan daripada teman-teman senegerinya, tetapi juga menyebabkan komplot terhadap nyawanya. Philotas, seorang teman pasukan askar berkudanya, dihukum mati atas tuduhan penderhakaan kerana tidak sengaja telah gagal menarik perhatian Iskandar terhadap komplot itu. Parmenion, ayahanda Philotas yang merupakan ketua angkatan tentera di Ecbatana, dibunuh atas perintah Iskandar kerana baginda bimbang bahawa Parmenion mungkin akan membalas dendam terhadap kematian anaknya.

Banyak perbicaraan penderhakaan menyusul, dan ramai orang Macedonia dihukum mati. Kemudian, dalam perkelahian mabuk di Maracanda, Iskandar juga membunuh Clitus si Hitam, seorang yang pernah menyelamatkan nyawa baginda di Granicus. Dalam kempen Asia Tengah, komplot kedua terhadap nyawa Iskandar oleh salah seorang suruhan peribadinya didedahkan. Callisthenes dari Olynthus, seorang ahli sejarah rasmi yang tidak lagi disayangi oleh Iskandar kerana mengetuai penentangan untuk memperkenalkan proskinesis telah dibabit. Kebanyakan ahli sejarah menganggap bahawa tuduhan-tuduhan terhadapnya adalah dibuat-buat. Bagaimanapun, terdapat bukti yang kukuh bahawa Callisthenes, yang merupakan guru untuk orang-orang suruhan, pasti memujuk mereka untuk membunuh maharaja mereka.

[Sunting] Serangan India

Pada tahun 326 SM, selepas kematian Spitamenes dan perkahwinannya dengan Roxana ( bahasa Bactria: Roshanak) untuk mengeratkan persahabatan dengan pelindung-pelindung barunya dari Asia Tengah, Iskandar akhirnya berasa lapang untuk mengalihkan perhatiannya ke atasIndia. Maharaja Ambhi, pemerintah Taxila, menyerahkan bandarnya kepada Iskandar tanpa pertempuran. Ramai penduduk lari ke bandar berkubu Aornos, dan Iskandar menawan bandar itu dengan kekerasan.

Duit syiling yang dicetak di Babylon untuk memperingati kempen-kempen Iskandar di India, pada sekitar 323 SM. Kepala syiling: Iskandar berdiri dengan bersenjata penuh sewaktu dimahkotai oleh Nike, serta memegang Zeus, dewa petir. Ekor syiling: Penunggang Yunani, kemungkinan Iskandar, menyerang gajah perang India, mungkinnya semasa perang Porus.
Besarkan
Duit syiling yang dicetak di Babylon untuk memperingati kempen-kempen Iskandar di India, pada sekitar 323 SM.
Kepala syiling: Iskandar berdiri dengan bersenjata penuh sewaktu dimahkotai oleh Nike, serta memegang Zeus, dewa petir.
Ekor syiling: Penunggang Yunani, kemungkinan Iskandar, menyerang gajah perang India, mungkinnya semasa perang Porus.

Iskandar bertempur dalam perang agung menentang Porus, seorang pemerintah untuk kawasan Punjab dalam Perang Hydaspes pada tahun itu. Selepas mencapai kejayaan, Iskandar membuat perikatan dengan Porus dan melantik pemerintahnya sebagai pelindung untuk kerajaannya. Iskandar kemudian menamakan salah satu daripada dua buah bandar yang baru diasaskannya sebagai "Bucephala", untuk menghormati kuda yang membawanya ke India. Iskandar meneruskan penaklukan ke atas semua punca-punca sungai yang mengalir ke Sungai Indus.

Di timur kemaharajaan Porus yang berdekatan dengan Sungai Ganges, terletaknya sebuah empayar Magadha yang sangat kukuh yang diperintah oleh Dynasti Nanda. Oleh kerana takut terhadap prospek untuk menghadap lagi seangkatan tentera India yang amat kuat, serta berasa amat letih selepas kempen bertahun-tahun, angkatan tentera Iskandar memberontak dan enggan bergerak lagi ke timur. Selepas perjumpaannya dengan Coenus, pegawainya, Iskandar diyakinkan untuk kembali. Baginda dipaksa membelok ke arah selatan dan dari sana, baginda menakluk kesemua kawasan di Indus sehingga Lautan India. Iskandar menghantar Jeneral Craterus dengan sebahagian besar angkatan tenteranya ke Carmania (Iran selatan moden), dan memerintah seangkatan kapal di bawah Laksamana Nearchus untuk menerokai pesisir Teluk Parsi. Baginda mengetuai tentera-tentera yang tinggal untuk kembali ke Parsi melalui Gedrosia (kini, Makran di Pakistan selatan) di arah selatan.

[Sunting] Selepas India

Iskandar dan Porus oleh Charles Le Brun, 1673.
Besarkan
Iskandar dan Porus oleh Charles Le Brun, 1673.

Selepas mendapat tahu bahawa ramai daripada pelindung dan gabenor tenteranya telah berkelakuan tidak senonoh semasa ketiadaannya, Iskandar menjalankan hukuman mati terhadap sebilangan mereka sebagai contoh untuk yang lain semasa dalam perjalannya ke Susa. Sebagai rasa terima kasih, baginda membayar hutang bagi pihak askar-askarnya, dan mengumumkan bahawa askar-askar yang cukup umur dan yang kehilangan upaya akan dihantar balik ke Macedonia di bawah Craterus. Askar-askarnya salah faham akan maksudnya dan memberontak di bandar Opis, dan menolak perintah untuk dihantar balik. Mereka juga mengkritik dengan perasaan pahit terhadap pengamalan adat-adat resam dan pakaian Parsi, serta penyerapan masuk pegawai-pegawai dan askar-askar Parsi ke dalam unit-unit Macedonia. Iskandar menjalankan hukuman mati ke atas ketua kumpulan pemberontak itu, dan memaafkan orang-orang yang berpangkat rendah.

Dalam percubaannya untuk mencipta keharmonian yang kekal antara orang taklukan Macedonia dan Parsi, Iskandar mengadakan kahwin beramai-ramai antara pegawai-pegawai kanannya dengan wanita-wanita bangsawan Parsi dan bangsawan yang lain di Opis, tetapi tidak banyak daripada perkahwinan itu dapat berlanjutan melebihi setahun. Percubaannya untuk menggabungkan kebudayaan Parsi dengan kebudayaan Yunani untuk askar-askar Yunani termasuklah melatih sepasukan rejimen Parsi dalam cara orang Macedonia. Tidak pasti sama ada Iskandar pernah menggunakan gelaran kerabat Parsi, shahanshah ("maharaja agung" atau "maharaja antara maharaja-maharaja"), tetapi kebanyakan ahli sejarah percaya bahawa baginda berbuat demikian.

Iskandar kemudian mengumumkan tujuannya untuk melancarkan kempen terhadap puak-puak Arab. Selepas mereka tewas, Iskandar dianggap akan membelok ke arah barat untuk menyerang Carthage dan Itali. Selepas perjalanannya ke Ecbatana untuk mendapatkan semula sebahagian besar daripada harta karun Parsinya, Hephaestion, teman Iskandar yang paling rapat (dan kemungkinan merupakan kekasihnya) mati kerana penyakit. Iskandar menjadi tidak keruan dan kembali ke Babylon, di mana baginda jatuh sakit dan kemudian mangkat.

[Sunting] Lihat juga

  • Peribadi dan keseksualan Iskandar Agung
  • Perbezaan Antara Iskandar Agung dan Iskandar Zulkarnain (Bertanduk Dua)

[Sunting] Pautan luar

Cari Iskandar Agung dalam Wiktionary, sebuah kamus bebas.

Sumber-sumber Utama

Projek-projek

Naratif

Perbincangan

Bibliografi


Didahului oleh:
Philip II
Maharaja Macedonia
336–323 SM
Diwarisi oleh:
   Philip III & Alexander IV   
Didahului oleh:
Darius III
   Maharaja Agung Media dan Parsi   
330–323 SM
Firaun Mesir
332–323 SM


Riwayat-riwayat Hidup Bangsawan Yunani dan orang Rom oleh Plutarch
Alcibiades dan Coriolanus - Alexander Agung dan Julius Caesar - Aratus & Artaxerxes dan Galba & Otho - Aristides dan Cato yang Lebih Tua - Crassus dan Nicias - Demetrius dan Antony - Demosthenes dan Cicero - Dion dan Brutus - Fabius dan Pericles - Lucullus dan Cimon - Lysander dan Sulla - Numa dan Lycurgus - Pelopidas dan Marcellus - Philopoemen dan Flamininus - Phocion dan Cato yang Lebih Muda - Pompey dan Agesilaus - Poplicola dan Solon - Pyrrhus dan Gaius Marius - Romulus dan Theseus - Sertorius dan Eumenes - Tiberius Gracchus & Gaius Gracchus dan Agis & Cleomenes - Timoleon dan Aemilius Paullus - Themistocles dan Camillus

Our "Network":

Project Gutenberg
https://gutenberg.classicistranieri.com

Encyclopaedia Britannica 1911
https://encyclopaediabritannica.classicistranieri.com

Librivox Audiobooks
https://librivox.classicistranieri.com

Linux Distributions
https://old.classicistranieri.com

Magnatune (MP3 Music)
https://magnatune.classicistranieri.com

Static Wikipedia (June 2008)
https://wikipedia.classicistranieri.com

Static Wikipedia (March 2008)
https://wikipedia2007.classicistranieri.com/mar2008/

Static Wikipedia (2007)
https://wikipedia2007.classicistranieri.com

Static Wikipedia (2006)
https://wikipedia2006.classicistranieri.com

Liber Liber
https://liberliber.classicistranieri.com

ZIM Files for Kiwix
https://zim.classicistranieri.com


Other Websites:

Bach - Goldberg Variations
https://www.goldbergvariations.org

Lazarillo de Tormes
https://www.lazarillodetormes.org

Madame Bovary
https://www.madamebovary.org

Il Fu Mattia Pascal
https://www.mattiapascal.it

The Voice in the Desert
https://www.thevoiceinthedesert.org

Confessione d'un amore fascista
https://www.amorefascista.it

Malinverno
https://www.malinverno.org

Debito formativo
https://www.debitoformativo.it

Adina Spire
https://www.adinaspire.com