Bendera Singapura
From Wikipedia
Bendera Singapura diperkenalkan pada 3 Disember 1959 sewaktu perlantikan Yang di-Pertuan Negara yang pertama, Encik Yusof bin Ishak. Ia direka oleh sebuah komiti yang diketuai oleh Naib Perdana Menteri pada masa itu, Dr Toh Chin Chye. Bendera ini menggantikan bendera Union Jack yang telah berkibar di Singapura selama 140 tahun (1819-1959) dan hingga kini digunakan sejak Singapura merdeka dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Bendera ini terbahagi kepada dua bahagian yang mendatar, warna merah di atas warna putih. Di bahagian atas sebelah kiri terdapat sebuah bulan sabit dan lima butir bintang yang disusunkan secara bulatan. Setiap ciri yang ada pada bendera tersebut mempunyai makna yang tersendiri.
Warna merah bermakna persaudaraan dan kesaksamaan segala manusia. Putih melambangkan kesucian dan kebaikan. Bulan sabit melambangkan sebuah negara muda yang sedang maju. Bintang yang lima melambangkan lima prinsip yang dipegang oleh Singapura: demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan.
Bendera Singapura sering dikibarkan oleh rakyatnya pada bulan Ogos selama satu bulan bagi merayakan hari kebangsaan mereka.